Breadcrumbs

 

Satu Mesyuarat Pengurusan Akademik SMKTBG  telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMKTBG selama 2 hari mulai 28-29 Dis 2011 untuk menghadapi persiapan untuk menghadapi musim persekolahan 2012 yang akan datang. Mesyuarat pada 28 Dis 2011 adalah mesyuarat  Sektor Akademik yang dipengerusikan oleh Tuan Pengetua En. Abdul Nasir Bin Hj. Salleh seterusnya pada 29 Dis 2011 diteruskan mesyuarat KURIKULUM,HEM dan KOKURUKULUM.Mesyuarat diteruskan dengan Taklimat Pengurusan Fail (Arkib Negara Malaysia AP BAB4) yang disampaikan oleh En. Mat Saridan Bin Abd. Aziz (Ketua Pembantu Tadbir  N26 SJK(C) Chong Cheng, Sungai Ara, Pulau Pinang. Kepada yang terlibat diucapkan SELAMAT BERMESYUARAT.

 

 

 

Durian. Raja buah yang berduri di luar namun didalamnya tersembunyi isi yang lemak dan manis. Musim raja buah ini sentiasa dinanti apatah lagi durian Balik Pulau yang terkenal seluruh negara dengan keenakan isinya yang dikatakan antara yang terbaik.

SMK Teluk Bahang juga seperti tahun-tahun sebelumnya telah mengadakan majlis Jalinan Kasih atau lebih dikenali dengan Jamuan Makan Durian dengan pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang (JPNPP) pada 5 Julai 2011. Majlis tahun ini dihadiri oleh Pengarah JPNPP yang baru iaitu Haji Ahmad Tarmizi bin Kamarudin, ADUN Teluk Bahang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya, Ketua-Ketua Sektor, Pengetua-pengetua Barat Daya, guru-guru dan pelajar asrama.

Jamuan bermula pada jam 3 petang. Semua tetamu dihidangkan dengan menu utama iaitu pulut durian, dan juga roti jala dengan kuah durian. Selain itu, tetamu juga dihidangkan dengan buah-buahan lain seperti manggis dan rambutan. Semoga acara seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

 

Saban tahun, acara kemuncak Kejohanan Sukan Tahunan adalah acara yang paling dinanti oleh seluruh warga sekolah. Tahun ini, kejohanan diadakan pada tanggal 2 Julai 2011 selepas larian 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia.

Acara dimulakan dengan perbarisan masuk kontijen rumah sukan yang dimulai dengan rumah Delima diikuti rumah Zamrud, Mutiara dan Nilam. Suasana gamat dipadang apabila rumah Nilam membawa masuk 'Usop Wilcha'. 

Selepas itu, acara balapan pun bermula. Cuaca pada hari ini baik walaupun sedikit panas. Namun semua itu tidak menggugah semangat para peserta meraih kejayaan. Setelah tamat acara balapan, suasana dimeriahkan lagi dengan acara tarik tali antara pasukan guru dan pelajar dengan dimenangi oleh pasukan guru.

Johan rumah sukan pada tahun ini jatuh kepada rumah Mutiara manakala olahragawan jatuh kepada Zulfadli Rusdi dari rumah Nilam manakala olahragawati sekolah pula Hanis Najwa dari rumah Zamrud. Tahniah kepada pemenang. Menang kalah adat betanding, yang penting adalah kerjasama berpasukan.

Umum sudah mengetahui bahawa pada hari Sabtu ini, 2 Julai 2011 akan berlangsungnya Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia 2011.  Dengan itu, kesemua warga sekolah-sekolah di Malaysia akan mengadakan larian serentak ini di kawasan masing-masing. Ini bertepatan dengan Dasar 1 Murid 1 Sukan yang bertujuan untuk memastikan setiap seorang murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah.

Majlis Pelancaran Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia 2011 telah berlangsung pada 2 Julai 2011 di Padang Esplanade, Taiping, Perak. Acara ini akan disiarkan secara Live Streaming melalui Portal EduwebTV di alamat www.eduwebtv.com mulai jam 7.30 sehingga 9.00 pagi. Acara bersejarah ini merupakan larian terbesar yang akan disertai oleh murid-murid sekolah akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Di SMK Teluk Bahang, larian diadakan bermula dari padang sekolah sehingga ke Taman Rimba dan berpatah balik. larian ini turut disertai oleh para guru yang turut sama 'memanaskan enjin' sebelum acara Sukan Tahunan yang berlangsung selepas itu.