Breadcrumbs

 

 

Pada 24, 25 dan 26 Jun 2011, satu aktiviti telah diadakan di SMK Teluk Bahang iaitu Program Jejaki ‘ Raja A’. Program yang julung kalinya diadakan ini adalah koloborasi antara SMK Bukit Gambir dan SMK Teluk Bahang. Peserta-pesertanya pula terdiri daripada 80 orang pelajar Tingkatan 5 kedua-dua buah sekolah. Antara objektif program ini ialah untuk meningkatkan keyakinan diri peserta-peserta dalam membina jatidiri dan keupayaan meraih kejayaan dalam peperiksaan. Bagi merealisasikan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar, usaha yang dilakukan melalui program ini ialah dalam bentuk ceramah motivasi dan aktiviti latihan dalam kumpulan. Kerjasama dan komitmen guru-guru kedua buah sekolah pula sedikit sebanyak mencerminkan hubungan persahabatan yang baru terjalin dan diharapkan terus mekar dalam kenangan selamanya. Bagaimanapun, adalah sangat diharapkan agar peserta-peserta program ini khususnya, dapat mengambil peluang ini sebagai satu pengalaman baru yang dapat menjadi batu loncatan ke arah perubahan diri yang lebih positif dan mencapai kejayaan cemerlang.  

Pada 24 Jun 2011, sekolah kita telah menyambut Hari Koperasi dengan tema '1 untuk Semua, Semua untuk 1'. Sepanjang minggu sebelum hari kemuncak, telah dadakan pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz koperasi pada waktu perhimpunan pagi.

Pada hari kemuncak dan berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pada tahun ini diadakan gerai-gerai jualan untuk memeriahkan lagi suasana di samping menerapkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar.

 

 

Setiap tahun para warga pendidik akan menyambut Sambutan Hari Guru pada 16 Mei. Pada tahun ini, Hari Guru akan disambut pada 18 Mei di SMK Teluk Bahang dengan tema Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

Jika tahun lalu semua guru berpakaian hitam dan putih, pada tahun ini semua warga di SMK Teluk Bahang seakan kembali ke zaman Kesultanan Melayu. Majlis dimulakan dengan semua pentadbir duduk di atas pentas yang telah dihias seperti singgahsana Sultan (hasil sentuhan Cikgu Zaidi) sebelum 'pembawa utusan' diarak masuk dengan tandu untuk menyampaikan watikah.

Formaliti Hari Guru tidak lengkap tanpa pembacaan ucapan daripada Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan kita. Selepas itu, guru-guru terlibat dalam acara sukan dan permainan serta jamuan Hari Guru yang dianjurkan oleh kelas masing-masing. Pada hari ini juga, telah dilancarkan Skuad Ragbi sekolah.

 

 

Pada 13-14 Mei 2011, telah diadakan Kem Genggam Jaya untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan 5 yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM penghujung tahun ini. Program ini telah dirasmikan oleh YB Faridah, mantan ADUN Teluk Bahang. Antara kandungan program ini ialah seminar teknik menjawab untuk subjek Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik. Selain itu, turut diadakan ceramah teknik menguruskan masa dan juga muhasabah diri oleh Alumni SMKTBG.

Keseluruhannya program berjalan dengan lancar dan semoga segala input yang disampaikan oleh penceramah dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar.