MAJLIS ORIENTASI TINGKATAN 1 DAN PENDAFTARAN KEMASUKAN KE ASRAMA 2013

LAPORAN DARI: CIK NOOR YAZMIRA BT. ISMAIL (KAUNSELOR)

 

1 Januari 2013 – Bermula jam 7.30 pagi ibu bapa dan para pelajar tingkatan satu sudah mula hadir dalam kawasan sekolah untuk majlis orientasi tingkatan satu yang telah diadakan di surau SMKTBG. Majlis telah dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Tajuddin B. Ismail dan pihak sekolah telah menerima kehadiran ibu bapa yang sangat memberangsangkan. Selepas ucapan alu-aluan majlis diteruskan dengan ucapan daripada PK HEM; Ustaz Mohd Siroj B. Abdul Lathif yang banyak menyentuh tentang pendidikan anak-anak bermula dari rumah serta isu-isu disiplin dalam membentuk sahsiah pelajar. PK Pentadbiran ; Pn. Zaleha Bt. Abdul Rahman telah menyampaikan taklimat berkaitan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) agar ibu bapa dan para pelajar mendapat gambaran awal tentang sistem pendidikan yang baru diperkenalkan ini.

Ucapan Tn. Pengetua; En. Abdul Nasir B. Hj. Salleh pula menyentuh tentang dunia pendidikan dan kaedah mengendalikan anak-anak pelajar serta diselitkan dengan unsur-unsur motivasi sebagai satu sokongan untuk terus berjaya cemerlang di SMK Teluk Bahang. Sesi soal jawab dibuka dan terdapat beberapa ibu bapa yang mengutarakan soalan berkaitan PBS dan ini menunjukkan ibu bapa semakin peka dengan dunia pendidikan terkini untuk anak-anak mereka.

Majlis pada hari tersebut bersurai setelah mendengar taklimat daripada ketua warden asrama; En. Khairulfaizi B. Rasid yang telah menyampaikan beberapa peraturan tentang asrama kepada ibu bapa pelajar yang akan mendaftar masuk ke asrama. Majlis pada hari tersebut sangat meriah dengan pelbagai ragam ibu bapa dan pelajar yang sibuk mendaftar masuk ke asrama, membeli kelengkapan alat tulis dan buku di koperasi serta mendapatkan buku teks di bilik SPBT.

Terima kasih diucapkan kepada semua AJK yang terlibat dalam membantu melaksanakan majlis pada hari ini. Semoga usaha kita mendapat keberkatan daripada Allah dalam usaha mendidik dan melahirkan insan pelajar yang cemerlang sahsiah dan akademik.

 

“SEKOLAHKU SYURGAKU”