“TAK KENAL MAKA TAK CINTA” SEHARI BERSAMA PROGRAM ORIENTASI TINGKATAN 1 2013

LAPORAN DARI: CIK NOOR YAZMIRA BT. ISMAIL (KAUNSELOR)

 

3 Januari 2013- Bertempat di bilik persidangan, satu program telah dijalankan iaitu Program Orientasi Tingkatan Satu bertemakan “Tak Kenal Maka Tak Cinta” yang telah bermula jam 7.40 pagi dan berakhir jam 2.10 petang dan melibatkan seramai 141 pelajar tingkatan satu termasuklah 4 orang pelajar India. Program tersebut telah dikendalikan oleh Guru Kaunseling sekolah yang bertindak sebagai penyelaras program.

Antara pengisian program tersebut adalah Sesi pengenalan tentang SMK Teluk Bahang dan Unit Bimbingan&Kaunseling yang telah disampaikan oleh Cik Yazmira. Program tersebut juga diselitkan dengan ucapan daripada Tn. Pengetua, Pk Pentadbiran serta ucapan daripada PK HEM. Antara lain pengisian dalam program tersebut adalah taklimat daripada unit disiplin yang memfokuskan kepada peraturan di sekolah serta kekemasan diri pelajar dan ianya telah disampaikan oleh ketua unit disiplin; Ustaz Mohd Tajuddin. Selain itu taklimat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah disampaikan oleh Pn. Norita manakala taklimat Kadet Remaja Sekolah oleh Cik Nurul Nazwa dan taklimat pergigian dan kesihatan oleh Cik Keerthana dan Pn. Shanti.

Banyak perkara telah disentuh tentang pendidikan serta pembangunan sahsiah diri pelajar. Budaya memberi salam serta saling hormat menghormati turut diterapkan dalam diri pelajar agar bijak membawa diri dengan dunia baru di alam persekolahan menengah. Program ini turut mendapat bantuan daripada barisan pengawas sekolah yang membawa dan menguruskan lawatan pelajar ke bilik-bilik khas serta di sekitar kawasan sekolah. Penerangan tentang kawasan sekolah turut diberikan agar para pelajar tahu tempat-tempat tertentu yang sesuai atau sebaliknya untuk dikunjungi. Program tersebut diakhiri dengan solat zohor berjemaah di surau sekolah dan salam ukhwah agar setiap slot yang dilaksanakan pada hari tersebut mendapat keberkatan daripada Allah serta mengeratkan silaturrahim antara guru dan pelajar serta sesama pelajar.

Terima kasih kepada guru-guru yang terlibat serta barisan pengawas yang sentiasa membantu. Semoga kesungguhan kita mendidik pelajar menjadi satu inspirasi untuk terus yakin bahawa kita mampu melahirkan insan pelajar yang hebat dalam pelbagai bidang. InsyaAllah.

 

“SCHOOL IS FUN”